SALAM Shah Alam Specialist Hospital dan PhysioGo memeterai perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang kesihatan dan rehabilitasi di Selangor.

Melalui kerjasama ini, SALAM Shah Alam dan PhysioGo akan berganding bahu dalam pelbagai inisiatif.

Ini termasuk perkongsian kepakaran klinikal, pembangunan program kesihatan komuniti serta memperluas akses kepada rawatan fisioterapi dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dalam satu ekosistem yang menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutif SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Akim Affandi Ahmad berkata, kerjasama itu akan membuka lebih banyak peluang untuk pesakit mendapatkan pandangan kedua.

“Selain itu konsultasi bersama pakar ortopedik hingga kepada rawatan pembedahan serta fisioterapi dalam satu ekosistem.

“Insya-Allah, usaha ini juga akan memperkukuh jenama SALAM serta meluaskan capaian kami kepada lebih ramai pesakit yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian berkenaan yang berlangsung di cawangan PhysioGo, Bangi (OSTIA), hari ini.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif PhysioGo, Mohamad Arif Mohd Yusuf berkata, pertumbuhan syarikat tidak boleh dicapai secara bersendirian.

“Bagi kami di PhysioGo, perkongsian adalah kunci. Sebab itulah kerjasama dengan SALAM ini amat bermakna.

“Dengan sokongan ini, kami dapat menjangkau lebih ramai pesakit dan bersama menyediakan penjagaan terbaik serta pengalaman lebih berkualiti,” katanya.

Pihaknya juga percaya bahawa dengan bekerjasama, PhysioGo dan SALAM boleh mencipta impak yang lebih besar kepada komuniti.

“Melalui MoU ini, objektif kami jelas iaitu mencipta nilai tambah untuk pesakit agar mereka mendapat hasil rawatan yang lebih baik dari kedua-dua pihak.

“Kami juga melihatnya sebagai permulaan kepada peluang baharu, bukan sahaja meningkatkan mutu perkhidmatan pesakit tetapi membangunkan perniagaan kedua-dua pihak,” katanya.