Kolaborasi strategik sektor kesihatan dan pendidikan, SALAM Hospital fokus perkukuh tenaga kerja berkualiti

Usaha memperkukuh tenaga kerja kesihatan negara terus dipertingkat apabila SALAM Shah Alam Specialist Hospital memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) masing-masing bersama City University Malaysia pada 9 Oktober 2025 dan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu pada 28 Oktober 2025.

Kedua-dua kerjasama strategik itu menjadi sebahagian daripada pelan pembangunan tenaga kerja seiring dengan rancangan peluasan kumpulan tersebut bagi memenuhi permintaan masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti serta mampu milik.

Ketua Pegawai Eksekutif SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Akim Affandi Ahmad berkata, usaha ini lebih daripada sekadar menyediakan latihan.

“Kerjasama ini bukan sekadar membuka peluang pekerjaan, tetapi membina jambatan antara dunia pendidikan dan industri. Kami melihat sendiri potensi pelajar KPTM, ada yang sangat cemerlang tetapi berdepan kekangan kerana faktor sosioekonomi.

“Kami berharap kerjasama ini menjadi asas kepada penyelesaian jangka panjang bagi membantu lebih ramai pelajar berbakat dalam bidang kesihatan,” katanya.

Kerjasama bersama KPTM memberi tumpuan kepada penyediaan platform latihan industri bagi para pelajar, meliputi pengalaman dalam aspek klinikal dan bukan klinikal di hospital-hospital di bawah Kumpulan SALAM, termasuk di SALAM Shah Alam, SALAM Senawang dan SALAM Kuala Terengganu.

Setakat ini, sembilan pelajar KPTM telah berkhidmat di SALAM Shah Alam, manakala 16 lagi ditempatkan di SALAM Senawang dan sekaligus menunjukkan keberkesanan kerjasama yang membuka peluang latihan kerja secara langsung dalam sektor kesihatan.

Namun demikian, SALAM turut mengakui bahawa terdapat segelintir pelajar KPTM yang tidak mendapat bantuan pembiayaan pengajian disebabkan oleh faktor status bukan Bumiputera dan latarbelakang keluarga.

Situasi ini menunjukkan masih wujud cabaran sosial dalam kalangan pelajar berpotensi tinggi yang memerlukan sokongan lebih menyeluruh daripada pelbagai pihak bagi memastikan tiada bakat terpinggir.

MoU dengan City University Malaysia pula memberi fokus kepada pembangunan akademik pekerja sedia ada SALAM melalui peluang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana, merangkumi bidang klinikal dan bukan klinikal.

Usaha ini dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi meningkatkan kompetensi tenaga kerja selari dengan keperluan industri kesihatan swasta yang semakin berkembang.

Kedua-dua MoU tersebut menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkukuh pelaksanaan TVET dan memastikan sektor kesihatan negara mempunyai tenaga kerja berkualiti serta inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

Perancangan itu seiring dengan strategi pengembangan Kumpulan Hospital SALAM, berikutan permintaan tinggi terhadap rawatan perubatan mampu milik, termasuk daripada panel syarikat dan penyedia insurans.

Pada masa ini, kumpulan tersebut mengendalikan tiga hospital utama iaitu SALAM Shah Alam, SALAM Senawang dan SALAM Kuala Terengganu dan dalam perancangan membuka dua lagi pusat perubatan baharu di wilayah utara dan selatan negara.

Sebagai hospital swasta yang menawarkan pelbagai kepakaran seperti Perubatan Dalaman, Ortopedik & Traumatologi, O&G, Pediatrik, ENT, Urologi, Fisioterapi dan Dietetik, SALAM Shah Alam turut dilengkapi fasiliti komprehensif termasuk Unit Diagnostik & Pengimejan, Makmal Perubatan, Scope Room, Unit HDU serta Dewan Bedah moden.

Dengan kadar bilik serendah RM90 untuk pelanggan korporat, hospital itu mengekalkan komitmen menyediakan perkhidmatan berkualiti pada harga berpatutan.

SALAM Shah Alam juga bakal membuka blok operasi baharu bagi menampung permintaan yang meningkat setiap tahun.

Sejak dibuka pada 2003, lebih 1.3 juta pesakit telah menerima rawatan di hospital tersebut. Berpandukan tagline “Quality, Comfortable & Affordable Care”, hospital itu kekal komited menjadi pilihan utama masyarakat dalam mendapatkan penjagaan kesihatan berkualiti.

Source: https://utusantv.com/2025/11/14/kolaborasi-strategik-sektor-kesihatan-dan-pendidikan-salam-hospital-fokus-perkukuh-tenaga-kerja-berkualiti/